Friday, December 31, 2010

Munaqasyah Ucapan Dasar

SEBERANG TAKIR: Majlis Tindakan DUN (MTD) Seberang Takir akan mengadakan Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS hari ini di Markaz Tarbiyah PAS DUN di Kg Duyung dekat sini.

Program yang diadakan di peringkat DUN itu akan disempurnakan oleh Dato' Husain Awang, Ketua Dewan Ulama' PAS Negeri Terengganu.

Ia akan disertai oleh kepimpinan PAS di peringkat DUN dan Cawangan-Cawangan dalam DUN ini. Dijangka lebih 200 orang akan menyertai program tersebut.

Munaqasyah Ucapan Dasar adalah program rutin tahunan yang diadakan selepas Muktamar PAS Pusat setiap tahun, bermula dari peringkat Pusat, Negeri sehinggalah ke peringkat DUN.

Ia bertujuan menghadhamkan ucapan dasar yang disampaikan oleh Presiden PAS dalam muktamar yang merupakan arahan dan tindakan kerja tahunan yang mesti dilaksanakan oleh setiap peringkat organisasi parti.

Perutusan Pengarah MTD Seberang Takir

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Pertamanya saya selaku Pengarah MTD Seberang Takir mengucapkan syukur di atas penubuhan blog PAS DUN Seberang Takir ini. Blog ini insya-ALLAH akan menjadi kesinambungan kepada perjuangan kita yang kita warisi daripada Nabi Muhammad s.a.w. Mudah-mudahan kehadiran blog ini memberi manfaat untuk kita bersama.

Sekalung tahniah saya rakamkan kepada yang telah bertungkus lumus mengadakan blog ini. Pasti ALLAH mengira kerja-kerja kalian sebagai amal yang dapat membantu kitaa di akhirat. Blog ini diwujudkan bagi memberikan info dan maklumat berkenaan dengan program dan aktiviti yang dianjurkan oleh MTD Seberang Takir khususnya di Seberang Takir. Moga-moga dengan adanya blog ini dapat menyalurkan maklumat-maklumat berguna buat kita semua.

Blog ini juga dibangunkan bagi memeriahkan lagi dunia blog dan memenuhi selera anak muda hari ini. Blog menjadi pilihan anak muda masa kini bagi mendapat maklumat sebenar dan 'tidak berat sebelah'. Malah ramai di kalangan kita yang sudah bosan dimomokkan dengan berita berupa retorik di televisyen dan akhbar tempatan. Moga-moga blog ini menjadi wasilah yang menghubungkan kita sesama pendokong parti mahupun penyokong.

Akhirnya mudah-mudahan apa yang kita rancang berjalan seperti yang kita rencanakan. Moga misi kita menawan Terengganu akan tergarap. Moga rahmat ALLAH memayungi kita semua. Kepada ALLAH jualah kita berserah. Sekian. Wassalam.

(ZAKARIA BIN DAGANG)
Pengarah MTD Seberang Takir