Sunday, March 20, 2011

Harapan Pesuruhjaya terhadap DUN Seberang Takir

KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu menjangka akan berlaku kebangkitan rakyat di seluruh kawasan di negeri ini pada pilihan raya umum akan datang termasuk tempat yang mempunyai penyokong kuat Barisan Nasional (BN) seperti Kemaman dan Besut.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Harun Taib berkata, kebangkitan rakyat itu akan berlaku berdasarkan kepada sikap terbuka mereka yang bijak memberi undi kepada parti politik tertentu dan memilih pemimpin.

Menurutnya, kubu kuat BN akan ditembusi pembangkang dan tidak menolak berkemungkinan kejayaan tersebut sebagaimana Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999 apabila pembangkang berjaya merebut keseluruhan kerusi Parlimen dan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 32 kerusi DUN di negeri ini.

“Kita jangka rakyat akan melakukan kebangkitan di Kemaman dan kita akan turut memberi tumpuan di Besut.

“Kita akan ambil kesemuanya dan beberapa kerusi yang kita yakin kekal milik pembangkang dalam pilihan raya umum nanti adalah DUN Wakaf Mempelam dan Parlimen Marang,” katanya.

Beliau turut menjangkakan PAS mempunyai potensi untuk menang di DUN Seberang Takir berdasar kepada sokongan rakyat dalam pilihan raya umum lalu.

Menurutnya, walaupun DUN terbabit dilihat sukar disebabkan wujud pengundi pos yang sebahagian besarnya memihak kepada BN, namun sokongan kuat daripada pengundi biasa mampu meningkatkan jumlah undi kepada PAS.

“Kita melihat potensi di Kuala Nerus termasuk DUN Seberang Takir yang dilihat ada harapan untuk kita ambil alih,” katanya.

Beliau menjelaskan, masalah dalaman BN negeri yang didakwa belum selesai akan memberi pulangan yang baik kepada pembangkang sekiranya ia berterusan sehingga ke hari mengundi.

Harun tidak menolak akan berlaku undi protes dalam BN terutama di Besut berikutan perubahan kepimpinan yang berlaku sebelum ini tidak disenangi kumpulan tertentu dalam BN.

“Ada tempat kuat penyokong BN seperti Besut tetapi kita yakin ada undi protes dan ini kemungkinan besar akan berpihak kepada Pas,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment