Monday, January 17, 2011

PAS Mesti Ganti UMNO - Ustaz Nik Zawawi

SEBERANG TAKIR: Rabu lalu, pada tarikh 12 Januari 2011 telah berlangsung satu kuliah maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh, Ketua Penerangan PAS Negeri Terengganu bertempat di Masjid Kampung Batin, Kuala Terengganu. Kuliah yang berlangsung sekitar selepas solat Maghrib itu berakhir pada pukul 8.45 malam. Dihadiri seluruh jemaah sekitar Seberang Takir dan DUN-DUN lain dalam kawasan Kuala Nerus. Hadirin dilihat memenuhi keseluruhan ruang solat masjid.

Dalam kuliahnya Ustaz Nik Zawawi menegaskan kemestian PAS untuk menggantikan UMNO selepas PRU ke-13 akan datang. Alasannya mudah, UMNO sudah tidak layak memerintah! Lihatlah pada rosaknya akhlak remaja, krisis nilai moral masyarakat yang teruk, jenayah yang menggila dan ekonomi yang tersungkur jatuh. Sudah tiba masanya untuk PAS ganti UMNO!

Beliau turut menceritakan pengalaman berdialog dengan pihak non-muslim terdiri daripada Cina dan India di Kuala Lumpur. Mereka mahukan penjelasan daripada pimpinan PAS sendiri mengenai isu-isu sensitif seperti hudud, qisas, diyat, kharaj dan jizyah. Selepas diterangkan dengan jelas kepada mereka, akhirnya mereka membuat resolusi bahawa jika PAS dan Pakatan Rakyat dapat memerintah Malaysia, mereka mahukan hukum hudud dan qisas dilaksanakan.

Tuesday, January 11, 2011

Kesan dari Himpunan Remaja

Himpunan Remaja sempena Pelancaran Kelab Motor Terengganu 2010 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak pada 18 Disember 2010 yang lalu telah meninggalkan kesan yang tidak sedikit kepada sekolah-sekolah yang dijadikan penginapan peserta.

Peserta yang datang dari daerah-daerah yang jauh sebelum ini pernah digula-gulakan dengan penginapan mewah di hotel, tetapi realitinya hanya asrama sekolah-sekolah sahaja yang 'mampu' disediakan oleh kerajaan yang menjadi penganjur program itu.

Beberapa buah sekolah di sekitar Kuala Nerus, terutama di DUN Seberang Takir yang mempunyai asrama dijadikan tempat penginapan para peserta berkenaan. Di sekitar Seberang Takir ini, tidak kurang dari tiga buah sekolah yang terlibat, termasuk sebuah sekolah rendah yang mempunyai asrama.

Sudahlah mereka ini datang dan memasuki sekolah-sekolah berkenaan ketika orang Islam sedang mengerjakan solat Jumaat. Sepatutnya mereka dibawa (dengan iringan polis trafik) ke masjid dahulu untuk solat Jumaat, tetapi rupanya tidak. Mereka terus diiring masuk ke sekolah. Kita bersangka baik dengan mereka kerana mereka adalah musafir.

Para peserta program ini adalah terdiri daripada remaja-remaja yang sebahagiannya adalah 'mat rempit' dan sangat kurang kesedaran sivik walaupun belajar  mata pelajar sivik bertahun-tahun di sekolah. Latar belakang yang berbeza ini telah dikumpulkan pada satu tempat yang sudah tentu menimbulkan pelbagai masalah.

Tinjauan yang dibuat selepas program itu di sekolah-sekolah berkenaan didapati banyak berlaku kerosakan harta benda sekolah termasuk peralatan dan bilik-bilik. Salah sebuah sekolah yang terlibat telah membuat tuntutan pembaikian sejumlah RM10,000.

Walaupun objektif atau matlamat program itu diadakan ialah untuk menyelesaikan masalah remaja dan anak muda hari ini, tetapi cara atau pendekatan yang digunakan tidak betul menyebabkan hasil yang lebih parah lagi mereka perolehi.

Kita berkeyakinan bahawa pendekatan melalui agama sahaja yang mampu menyelesaikan masalah remaja dan anak muda hari. Mereka perlu didedahkan dengan pengisian-pengisian ilmu yang merangkumi soal-soal akhlak yang sudah tentu mampu membentuk peribadi mereka menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negaranya.

Tetapi nampaknya kerajaan hari ini tidak begitu berminat menyelesaikan masalah ini melalui pendekatan agama ini. Kerana mereka tahu bahawa kalau remaja ini faham agama, mereka akan menyokong perjuangan Islam yang kebetulan dibawa oleh PAS. Remaja ini pasti beralih arah menentang kerajaan pula. Itu yang ditakuti pemerintah hari ini. Mereka rela membiarkan remaja hari ini jahil dengan agama supaya mereka boleh terus 'mencucuk hidung' remaja itu mengikut kehendak mereka.

Saturday, January 8, 2011

Nasib pengusaha bot penambang Seberang Takir

Baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman telah memaklumkan kepada para pengusaha bot penambang di Seberang Takir untuk melupuskan bot-bot yang mereka miliki dengan menggantikan bot yang 'standard' bagi memberi imej baru dalam industri ini.

Cadangan yang dikemukakan oleh beliau itu telah ditolak oleh Persatuan Pengusaha Bot Penambang Seberang Takir. Lalu pihak beliau telah mengambil tandatangan persetujuan dari pengusaha-pengusaha berkenaan yang berjumlah 23 orang. Hanya seorang sahaja yang menandatanganinya.

Mengikut rancangan yang hendak dibuat oleh ADUN itu ialah menyediakan sebanyak 10 buah bot dengan menambah lapan buah lagi bot yang telah disiapkan sebelum ini. Dua buah bot sebelum ini dibina dengan kos sebanyak RM270 ribu sebuah. Manakalah bot baharu yang akan dibina ini katanya, menelan kos RM300 ribu sebuah.

Asalnya dua buah bot itu hendak diserahkan kepada pihak persatuan, tetapi akhirnya hanya diserahkan untuk operasinya sahaja.

Rancangan baharu pihak ADUN ini walaupun dilihat untuk memajukan perusahaan ini, tetapi jelasnya akan menjejaskan kedudukan mereka yang selama ini pun memperoleh pendapatan yang tidak menentu. Kerana itulah mereka menolak rancangan itu.

Tetapi pihak ADUN itu nampaknya berusaha juga untuk 'memaksa' para pengusaha bot itu supaya menerima cadangan itu. Antara langkah yang beliau ambil ialah akan membawa lawatan ke Vietnam seramai 30 orang yang sebahagiannya terdiri daripada para pengusaha tersebut.

Apalah nasibmu wahai Tok Nambang...

Thursday, January 6, 2011

Kerajaan BN nak bina Galeri Hudud di Seberang Takir?

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman pernah dalam satu majlis menyebut bahawa kerajaan merancang untuk membina Galeri Hudud di Kampung Seberang Takir sebagai satu destinasi tarikan pelancong ke kawasan ini.

Menurut beliau, Kg Seberang Takir tercatat dalam sejarah pelaksanaan hukum Islam di negeri ini, iaitu semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881 - 1918).  Asal nama Seberang Takir ialah apabila sultan memerintah pesalah kes kecurian dipotong (takir dalam istilah/loghat Terengganu) tangannya di seberang. Akhirnya timbullah nama Seberang Takir yang bermaksud seberang tempat takir (potong) tangan pencuri.

Idea ADUN Seberang Takir itu adalah suatu idea yang sangat baik dan kita sokong. Cuma persoalannya, tergamakkah mereka membina galeri seperti itu, sedangkan dalam masa yang sama mereka menolak hukum hudud? Sementelah pula di negeri ini telah sedia ada digubal (semasa pemerintahan PAS pada tahun 1999 - 2004) undang-undang syariat berkenaan iaitu Enakmen Jenayah Syariah Terengganu yang tidak pernah dan tidak berani dipinda oleh kerajaan yang diperintah oleh Umno/BN. Cuma mereka tidak kuatkuasakannya sahaja.

Jangan sampai pula pembinaan itu nanti sebagai suatu bentuk 'permainan' atau simbol semata-mata yang tidak memberi apa-apa makna selain dari kesan sejarah unggul di kawasan ini. Sedangkan perkara yang berkaitan itu bukan sesuatu yang boleh dibuat main-main.

Tetapi dari ungkapan ADUN Seberang Takir yang juga Exco Kerajaan Negeri itu, motif sebenarnya ialah untuk menarik pelancong agar berkunjung ke Seberang Takir ini. Maka bertambahlah satu lagi 'syiar' yang dijadikan bahan tarikan pelancong di negeri ini seperti Masjid Kristal yang dibina bukan tujuan untuk ibadat kepada Allah.

Kita memberi amaran kepada golongan yang terlalu ghairah dengan projek ini, supaya jangan bermain dengan hukum Allah. Kemurkaan yang bakal Allah timpakan (mohon dijauhkan) tidak akan mampu kita elakkan. Betulkan niat kita dalam sesuatu amal atau kerja yang kita lakukan supaya kita mendapat keredhaan dari Allah SWT.

Tuesday, January 4, 2011

Cawangan baru di Seberang Takir


SEBERANG TAKIR: Majlis Tindakan DUN (MTD) Seberang Takir telah berjaya menambah sebuah lagi cawangan baru di DUN ini. Pembentukan jawatankuasa penaja PAS Cawangan Taman Perumahan Telaga Daing telah dilancarkan pada malam Jumaat lalu.

Cawangan ke-13 di DUN ini merupakan pecahan dari dua cawangan iaitu Teluk Ketapang dan Telaga Daing.

Dalam majlis tersebut, Haji Che Kamarudin Che Mat telah dipilih sebagai Ketua Jawatankuasa Penaja. Sementara Haji Mohd Zakaria Ibrahim dan Mohd Radzi Baharu dipilih sebagai Naib Ketua dan Setiausaha.

Majlis disempurnakan oleh Pengarah MTD Seberang Takir, Zakaria Dagang dengan dihadiri seramai kira-kira 30 orang ahli. Turut hadir ialah Setiausaha MTD Seberang Takir, Pauzai Husain.

Dalam ucapannya, Zakaria menegaskan tentang keperluan berjamaah atau berorganisasi serta kewajipan dan tanggungjawab menyertai jamaah.

Beliau menggesa agar semua ahli, terutama ahli jawatankuasa bekerja bersungguh-sungguh bagi melebarkan pengaruh parti yang merupakan kerja dakwah yang wajib dilaksanakan orang setiap orang beriman.

Saturday, January 1, 2011

77 pelajar cemerlang UPSR terima sumbangan

Zakaria menyampaikan sumbangan kepada seorang pelajar

SEBERANG TAKIR: Seramai 77 orang pelajar dari lima buah sekolah di kawasan DUN Seberang Takir yang berjaya memperoleh 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini telah menerima sumbangan dari Majlis Tindakan DUN (MTD) Seberang Takir.

Sumbangan sebagai tanda penghargaan dan ucapan tahniah itu telah disampaikan oleh wakil-wakil Cawangan ke setiap rumah pelajar berkenaan.

Pengarah MTD Seberang Takir, Zakaria Dagang turut menziarahi pelajar-pelajar berkenaan bagi menyampaikan sumbangan tersebut.

Sekitar Munaqasyah

Alhamdulillah, program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS Peringkat DUN Seberang Takir telah berjaya dilangsungkan semalam.

Seramai kira-kira 150 orang peserta dari seluruh Cawangan di DUN ini telah hadir menjayakan program tersebut.

Pembentangan kertas kerja telah disempurnakan oleh Dato' Husain Awang, Ketua Dewan Ulama' PAS Negeri Terengganu.

Sempena program tersebut, beliau turut melancarkan laman blog DUN Seberang Takir [PAS DUN SEBERANG TAKIR] dan Facebook PAS DUN Seberang Takir.

 Pengarah MTD sedang berucap

 Dato' Husain Awang membentang kertas kerja

Sebahagian peserta