Showing posts with label Pengarah. Show all posts
Showing posts with label Pengarah. Show all posts

Tuesday, January 4, 2011

Cawangan baru di Seberang Takir


SEBERANG TAKIR: Majlis Tindakan DUN (MTD) Seberang Takir telah berjaya menambah sebuah lagi cawangan baru di DUN ini. Pembentukan jawatankuasa penaja PAS Cawangan Taman Perumahan Telaga Daing telah dilancarkan pada malam Jumaat lalu.

Cawangan ke-13 di DUN ini merupakan pecahan dari dua cawangan iaitu Teluk Ketapang dan Telaga Daing.

Dalam majlis tersebut, Haji Che Kamarudin Che Mat telah dipilih sebagai Ketua Jawatankuasa Penaja. Sementara Haji Mohd Zakaria Ibrahim dan Mohd Radzi Baharu dipilih sebagai Naib Ketua dan Setiausaha.

Majlis disempurnakan oleh Pengarah MTD Seberang Takir, Zakaria Dagang dengan dihadiri seramai kira-kira 30 orang ahli. Turut hadir ialah Setiausaha MTD Seberang Takir, Pauzai Husain.

Dalam ucapannya, Zakaria menegaskan tentang keperluan berjamaah atau berorganisasi serta kewajipan dan tanggungjawab menyertai jamaah.

Beliau menggesa agar semua ahli, terutama ahli jawatankuasa bekerja bersungguh-sungguh bagi melebarkan pengaruh parti yang merupakan kerja dakwah yang wajib dilaksanakan orang setiap orang beriman.

Friday, December 31, 2010

Perutusan Pengarah MTD Seberang Takir

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Pertamanya saya selaku Pengarah MTD Seberang Takir mengucapkan syukur di atas penubuhan blog PAS DUN Seberang Takir ini. Blog ini insya-ALLAH akan menjadi kesinambungan kepada perjuangan kita yang kita warisi daripada Nabi Muhammad s.a.w. Mudah-mudahan kehadiran blog ini memberi manfaat untuk kita bersama.

Sekalung tahniah saya rakamkan kepada yang telah bertungkus lumus mengadakan blog ini. Pasti ALLAH mengira kerja-kerja kalian sebagai amal yang dapat membantu kitaa di akhirat. Blog ini diwujudkan bagi memberikan info dan maklumat berkenaan dengan program dan aktiviti yang dianjurkan oleh MTD Seberang Takir khususnya di Seberang Takir. Moga-moga dengan adanya blog ini dapat menyalurkan maklumat-maklumat berguna buat kita semua.

Blog ini juga dibangunkan bagi memeriahkan lagi dunia blog dan memenuhi selera anak muda hari ini. Blog menjadi pilihan anak muda masa kini bagi mendapat maklumat sebenar dan 'tidak berat sebelah'. Malah ramai di kalangan kita yang sudah bosan dimomokkan dengan berita berupa retorik di televisyen dan akhbar tempatan. Moga-moga blog ini menjadi wasilah yang menghubungkan kita sesama pendokong parti mahupun penyokong.

Akhirnya mudah-mudahan apa yang kita rancang berjalan seperti yang kita rencanakan. Moga misi kita menawan Terengganu akan tergarap. Moga rahmat ALLAH memayungi kita semua. Kepada ALLAH jualah kita berserah. Sekian. Wassalam.

(ZAKARIA BIN DAGANG)
Pengarah MTD Seberang Takir