Thursday, January 6, 2011

Kerajaan BN nak bina Galeri Hudud di Seberang Takir?

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman pernah dalam satu majlis menyebut bahawa kerajaan merancang untuk membina Galeri Hudud di Kampung Seberang Takir sebagai satu destinasi tarikan pelancong ke kawasan ini.

Menurut beliau, Kg Seberang Takir tercatat dalam sejarah pelaksanaan hukum Islam di negeri ini, iaitu semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881 - 1918).  Asal nama Seberang Takir ialah apabila sultan memerintah pesalah kes kecurian dipotong (takir dalam istilah/loghat Terengganu) tangannya di seberang. Akhirnya timbullah nama Seberang Takir yang bermaksud seberang tempat takir (potong) tangan pencuri.

Idea ADUN Seberang Takir itu adalah suatu idea yang sangat baik dan kita sokong. Cuma persoalannya, tergamakkah mereka membina galeri seperti itu, sedangkan dalam masa yang sama mereka menolak hukum hudud? Sementelah pula di negeri ini telah sedia ada digubal (semasa pemerintahan PAS pada tahun 1999 - 2004) undang-undang syariat berkenaan iaitu Enakmen Jenayah Syariah Terengganu yang tidak pernah dan tidak berani dipinda oleh kerajaan yang diperintah oleh Umno/BN. Cuma mereka tidak kuatkuasakannya sahaja.

Jangan sampai pula pembinaan itu nanti sebagai suatu bentuk 'permainan' atau simbol semata-mata yang tidak memberi apa-apa makna selain dari kesan sejarah unggul di kawasan ini. Sedangkan perkara yang berkaitan itu bukan sesuatu yang boleh dibuat main-main.

Tetapi dari ungkapan ADUN Seberang Takir yang juga Exco Kerajaan Negeri itu, motif sebenarnya ialah untuk menarik pelancong agar berkunjung ke Seberang Takir ini. Maka bertambahlah satu lagi 'syiar' yang dijadikan bahan tarikan pelancong di negeri ini seperti Masjid Kristal yang dibina bukan tujuan untuk ibadat kepada Allah.

Kita memberi amaran kepada golongan yang terlalu ghairah dengan projek ini, supaya jangan bermain dengan hukum Allah. Kemurkaan yang bakal Allah timpakan (mohon dijauhkan) tidak akan mampu kita elakkan. Betulkan niat kita dalam sesuatu amal atau kerja yang kita lakukan supaya kita mendapat keredhaan dari Allah SWT.

No comments:

Post a Comment