Tuesday, January 11, 2011

Kesan dari Himpunan Remaja

Himpunan Remaja sempena Pelancaran Kelab Motor Terengganu 2010 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak pada 18 Disember 2010 yang lalu telah meninggalkan kesan yang tidak sedikit kepada sekolah-sekolah yang dijadikan penginapan peserta.

Peserta yang datang dari daerah-daerah yang jauh sebelum ini pernah digula-gulakan dengan penginapan mewah di hotel, tetapi realitinya hanya asrama sekolah-sekolah sahaja yang 'mampu' disediakan oleh kerajaan yang menjadi penganjur program itu.

Beberapa buah sekolah di sekitar Kuala Nerus, terutama di DUN Seberang Takir yang mempunyai asrama dijadikan tempat penginapan para peserta berkenaan. Di sekitar Seberang Takir ini, tidak kurang dari tiga buah sekolah yang terlibat, termasuk sebuah sekolah rendah yang mempunyai asrama.

Sudahlah mereka ini datang dan memasuki sekolah-sekolah berkenaan ketika orang Islam sedang mengerjakan solat Jumaat. Sepatutnya mereka dibawa (dengan iringan polis trafik) ke masjid dahulu untuk solat Jumaat, tetapi rupanya tidak. Mereka terus diiring masuk ke sekolah. Kita bersangka baik dengan mereka kerana mereka adalah musafir.

Para peserta program ini adalah terdiri daripada remaja-remaja yang sebahagiannya adalah 'mat rempit' dan sangat kurang kesedaran sivik walaupun belajar  mata pelajar sivik bertahun-tahun di sekolah. Latar belakang yang berbeza ini telah dikumpulkan pada satu tempat yang sudah tentu menimbulkan pelbagai masalah.

Tinjauan yang dibuat selepas program itu di sekolah-sekolah berkenaan didapati banyak berlaku kerosakan harta benda sekolah termasuk peralatan dan bilik-bilik. Salah sebuah sekolah yang terlibat telah membuat tuntutan pembaikian sejumlah RM10,000.

Walaupun objektif atau matlamat program itu diadakan ialah untuk menyelesaikan masalah remaja dan anak muda hari ini, tetapi cara atau pendekatan yang digunakan tidak betul menyebabkan hasil yang lebih parah lagi mereka perolehi.

Kita berkeyakinan bahawa pendekatan melalui agama sahaja yang mampu menyelesaikan masalah remaja dan anak muda hari. Mereka perlu didedahkan dengan pengisian-pengisian ilmu yang merangkumi soal-soal akhlak yang sudah tentu mampu membentuk peribadi mereka menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negaranya.

Tetapi nampaknya kerajaan hari ini tidak begitu berminat menyelesaikan masalah ini melalui pendekatan agama ini. Kerana mereka tahu bahawa kalau remaja ini faham agama, mereka akan menyokong perjuangan Islam yang kebetulan dibawa oleh PAS. Remaja ini pasti beralih arah menentang kerajaan pula. Itu yang ditakuti pemerintah hari ini. Mereka rela membiarkan remaja hari ini jahil dengan agama supaya mereka boleh terus 'mencucuk hidung' remaja itu mengikut kehendak mereka.

No comments:

Post a Comment