Susulan dari ceramah yang dianjurkan oleh Majlis Tindakan DUN (MTD) Seberang Takir, di Taman Permint Perdana, Kg Batin, Seberang Takir baru-baru ini, pihak kami telah menerima satu surat layang bertarikh 13 Mac 2011 yang ditujukan kepada Haji Zaki Sheikh Maatok (mungkin atas sifat beliau sebagai Ketua Penerangan MTD Seberang Takir dan pengerusi majlis ceramah tersebut). Tetapi suatu yang pelik ialah, surat itu tidak diterima oleh Haji Zaki (mungkin tidak dihantar kepada beliau). Yang menerima surat itu ialah seorang guru di sebuah sekolah di daerah Setiu yang ada hubungan keluarga dengan seorang pemimpin PAS di DUN ini.
Pengirim surat itu menamakan dirinya sebagai Mohd Azhar dari Taman Permint Seberang Takir dan mendakwa sebagai seorang pengikut PAS. Puas pihak kami mencari penama itu di Taman Permint, tidak ada seorang PAS pun yang mengenalinya. Yang jelas kepada kami memang sah penama itu tidak wujud dan bukan seorang pengikut PAS, tetapi adalah pengikut Umno. Kami percaya bahawa kalau beliau adalah pengikut PAS dan ikhlas dengan perjuangannya, bukan dengan cara surat layang untuk menyampaikan isi hati atau pandangannya. Sepatutnya beliau boleh berjumpa dengan mana-mana pemimpin PAS di DUN ini, atau paling tidaknya pemimpin di Cawangan Taman Permint Perdana itu sendiri.
Seperkara lagi, beliau seolah-olah tidak kenal dengan orang PAS di Seberang Takir ini sehingga surat itu dipos ke Setiu. Bagaimana pula beliau boleh kenal seorang guru di Setiu itu? Sebenarnya (mungkin secara kebetulan), beberapa minggu sebelum itu, ada seorang pegawai di Pejabat Menteri Besar (MB) meminta maklumat berkait dengan seorang guru di sebuah sekolah di Setiu (guru yang menerima surat itu). Mungkin ia ada kaitan, sebab alamat pada surat itu adalah alamat sekolah.
Jadi mungkin tidak salah kalau ada yang membuat andaian bahawa ada kaitan yang sangat rapat penulis surat itu dengan seorang pegawai di Pejabat MB itu.
Pada mulanya kami tidak mahu layan sangat surat itu kerana ia dibuat secara tidak bertanggungjawab dan bukan secara anak jantan. Tetapi atas dasar berlapang dada dan muhasabah kepada kami, maka kami bentangkan di sini bagi menjelaskan beberapa isu yang dibangkitkan.
Kami di pihak PAS ingin mengucapkan terima kasih kerana sudi menghantar surat layang kepada kami. Namun begitu, tidak perlulah saudara menyamar dengan menggunakan nama orang lain. Nama Mohd Azhar itu tidak dikenali seorang pun di Taman Permint Kg Batin, Seberang Takir. Kami sudah maklum, saudara memang agak licik orangnya. Surat layang itu sudah kami ketahui penulisnya kerana saudara bukan pertama kali menulis surat-surat sebegini.
Bagi menjawab satu persatu surat layang yang saudara kirimkan kepada kami, sudilah saudara tatapi satu persatu perkara yang ingin kami sampaikan. Kami akan menulis ‘point by point’ agar memudahkan pihak saudara meneliti jawapan kami.
1. Berkenaan dakwaan saudara bahawa saudara merupakan pengikut PAS, maka kami akui bahawa saudara sememangnya selalu mengikuti perkembangan kami di pihak PAS sebagai modal ceramah saudara. Teguran saudara dalam surat layang itu sangat-sangat membina. Sekali lagi kami ucapkan terima kasih.
2. Dakwaan saudara bahawa ceramah PAS yang dibuat di Taman Permint Kg Batin untuk menjawab ceramah Umno di Kg Telaga Daing adalah tersasar. Kami tidak menyentuh sedikitpun berkenaan ceramah di Kg Telaga Daing itu. Barangkali saudara tidak hadir ke ceramah kami itu, maka saudara hanya dengar-dengar kata orang di Kg Batin kononnya kami menjawab isu yang dimainkan dalam ceramah Umno itu. Walhal yang kami jawab ketika itu hanyalah berkenaan ceramah Ustaz Ramli Nuh di Kg Baru pada Februari lepas apabila beliau menyamakan PAS dengan Yahudi. Jadi di situpun saudara sudah silap. Kata orang, awal-awal lagi dah ‘cendeng’.
3. Berkenaan ceramah Umno di Kg Telaga Daing itu yang saudara dakwa sangat sedap dan orang tidak puas dengar, kami rasa saudara sangat syok sendiri. Dengan memberi contoh ceramah-ceramah Ustaz Kamalrudin Omar di sekitar Seberang Takir, belum tentu membolehkan saudara menyifatkan ustaz itu hebat. Kalaulah begitu nilaiannya, maka pasti lebih ramai lagi yang jauh lebih hebat daripada ustaz itu. Bagaimana saudara tahu orang yang mendengar ceramah ustaz itu mendapat kesan atau ceramah ustaz itu sangat berkesan? Rasanya tiadapun orang Seberang Takir yang menyebut tentang kesedapan ustaz itu berceramah kecuali orang Umno. Kalau begitu tidak betullah kerana orang Umno bukan menunjukkan keseluruhan penduduk di sini. Masih ingatkah saudara bahawa Umno pernah kalah di Seberang Takir tahun 1999? Hanya mengharapkan undi pos barulah boleh menang. Sehingga Dato' Abdul Rashid Ngah yang menang dengan undi pos ketika itu digelar sebagai “wakil pos”, bukan wakil rakyat!
4. Dengan berdabik dada soal akademik ustaz itu maka kami lihat saudara sangat cetek akalnya dan rendah maruahnya. Adakah pada perkiraan saudara ilmu itu boleh disukat seperti beras? Tidak bermakna orang yang hanya belajar setakat SPM maka beliau lebih rendah ilmunya berbanding ustaz itu yang memiliki master. Kami rasa 'tok peraih' jauh lebih bijak daripada ustaz itu dalam menilai. Hanya orang yang ada kepentingan peribadi seperti ustaz itu sahaja yang memilih untuk duduk dalam Umno. Di mana kami tahu yang ustaz itu masuk Umno kerana mahu 'membuat' duit. Di situ keikhlasan ustaz itu diragui.
5. Saudara nyatakan bahawa di Seberang Takir tiada tokoh hebat yang boleh menandingi ustaz itu. Kalalulah tokoh hebat itu orangnya mestilah seperti ustaz itu, maka memanglah tiada dalam PAS. Tiada dalam PAS orang yang mulutnya mencaci dan menghina orang lain termasuk keluarga sendiri dalam ceramah kepada orang ramai. Saudara menyifatkan ustaz itu terlalu petah dan hebat. Agaknya orang-orang yang saudara dakwa hebat itu memang sangat banyak dalam Umno. Saudara dakwa lagi yang orang Seberang Takir menyenangi ustaz itu. Siapakah mereka itu? Kalau orang Umno memanglah, tak payah beritahupun tak apa (walaupun masih boleh dinafikan). Kalau begitu kenapa ustaz itu ketika datang ke Kg Batin yang beliau dakwa dalam ceramahnya tanah tumpahnya darahku itu, ustaz itu hadir dengan menyorok-nyorok, takut-takut dan hadir ketika tengah malam pada waktu orang kampung sudah tidur? Kami sangat mengalu-alukan kehadiran ustaz itu di sini, sama ada mahu berceramah atau mahu bersemuka dengan orang-orang yang ustaz itu berhutang (serta tidak membayar dan mengaku berhutang) dan menipu duit mereka. Walaupun kami tahu ustaz itu sangat takutkan mereka itu. Seingat kami dan penduduk di Kg Batin, ustaz itu tidak pernah “pijak” Masjid Kg Batin, apatah lagi berceramah di kampung tumpah darahnya ini setelah berada dalam Umno. Insya' Allah, jika ustaz itu hadir ke sini, kami akan beramai-ramai turun mendengar ceramahnya yang kononnya sangat hebat itu. Kami harap saudara boleh aturkan majlis berkenaan, kerana kami percaya saudara sangat rapat dengan ustaz itu.
6. Bagi menjawab persoalan yang saudara sengaja timbulkan, walaupun sudah tahu jawapannya, maka kami turunkan di sini jawapannya buat tatapan orang lain yang masih tertanya-tanya.
6.1. Isu pengharaman kerjasama dengan orang kafir sudah dijelaskan lama dulu. Perlu diketahui bahawa kerjasama kami iaitu ‘tahaluf siyasi’ (kerjasama politik) bukan bersifat wala' seperti kerjasama antara Umno dan MCA atau MIC dalam BN. Kami hanya bekerjasama dalam beberapa isu seperti pemerintahan yang adil dan menolak kezaliman dan rasuah, namun dari segi prinsip kami tetap dengan pendirian kami iaitu dasar kami Islam. Tidak seperti Umno yang sanggup menggadai prinsip demi mendapatkan kuasa dan mengaut kekayaan negara. Saudara boleh dapatkan penjelasan dari ustaz itu yang sudah biasa dengan sirah pasti beliau tahu mengenai kisah Abdullah bin Uraiqit, seorang musyrik yang menjadi pemandu Nabi SAW ketika dalam perjalanan ke Madinah untuk berhijrah. Juga kisah Suraqah bin Malik dalam hijrah Nabi yang mana Nabi menggunakan beliau supaya menyekat musuh-musuh lain daripada mencari Nabi, sedangkan beliau masih kafir.
6.2. PAS masih komited dengan isu negara Islam dan hudud. Kita masih menyebutnya dalam ceramah-ceramah kami, cuma mungkin saudara yang tidak biasa hadir ke ceramah kami maka boleh dakwa kami sudah tidak menyebutnya. Soal manifesto kami yang menyebut ingin membina sebuah negara berkebajikan, itu adalah strategi dan saudara orang luar tidak berhak soal. Bukankah kebajikan itu sebahagian daripada ciri-ciri negara Islam? Tanyalah ustaz itu, pasti beliau lebih arif.
6.3. Siapa yang kata duit kerajaan tak boleh ambil buat masjid kerana sumber haram? Boleh saudara nyatakan buktinya, bila, di mana dan siapa yang keluarkan kenyataan itu? PAS sendiri tidak pernah mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan perkara itu. Soalan saudara pun sudah salah, jadi tak perlu kepada jawapan.
6.4. Kami tak pernah kata sekolah kerajaan sekolah sekular. Yang kami soalkan ialah sistem pendidikan itu yang tiada roh Islam dan tidak mementingkan pendidikan agama. Contohnya mata pelajaran Pendidikan Islam tidak dijadikan subjek wajib lulus dalam peperiksaan. Sedangkan mata pelajaran Sejarah pun akan dijadikan subjek wajib lulus dalam pepeiksaan SPM pada tahun hadapan. Kami buat sekolah sendiri seperti di Batu Enam dan Rusila itu cuma menyediakan alternatif yang kami rasakan lebih baik. Bukan bermakna kami mengatakan sekolah kerajaan tidak baik. Beza tu saudara. Harapnya saudara pandai beza perkara ini walaupun ustaz yang saudara sanjung itu dengar ceritanya tak pandai beza program kerajaan dengan program parti. Dalam ceramah kepada pelajar-pelajar Mesir pun beliau gomol PAS. Jangan ustaz itu anggap mereka macam budak tadika, mereka semua sudah cerdiklah saudara. Malah mereka sangat meluat dengan tingkah laku ustaz itu dan ucapan-ucapan beliau yang berbaur fitnah dan tohmahan itu. Salah ke orang PAS hantar anak mereka ke sekolah kerajaan? Bukankah mereka juga ada hak sebagai rakyat Malaysia? Ataupun saudara fikir sekolah kerajaan itu mak bapak Umno yang punya dan hanya dikhususkan untuk anak-anak orang Umno saja, begitu?
6.5. Kami buat kerja bukan untuk pilihan raya saja saudara. Kami mengharapkan pahala daripada Allah. Jadi tidak timbullah di situ siapa yang akan bertanding di DUN Seberang Takir ini. Semuanya kami serahkan kepada pimpinan untuk menentukan sesuatu dan kami juga akan memberi pandangan kami kepada mereka. Kalau kami dok rok takkanlah kami boleh menang di peringkat rakyat ketika 1999 dulu saudara, lupakah?
6.6. Saudara yakin bahawa YB Ahmad Razif disukai ramai, maka kami ingin bertanya, bagaimana pula dengan mereka yang tidak sukakannya? Saudara ingat sikitkah golongan yang kedua itu? Soal dia turun padang itu memang sudah menjadi kerja dan tanggungjawab beliau untuk bantu rakyat, kalau tidak buat apa jadi wakil rakyat. Betulkah masa PAS perintah hari itu rakyat tidak dapat apa-apa? Yang bagi tanah (kemudian dirampas balik selepas BN memerintah) itu siapa saudara? Yang hapuskan tol dan mengecualikan cukai pintu itu siapa pula saudara? Jangan nyanyuk sebelum tiba masanya saudara. Pemimpin PAS kaya kata saudara? Setahu kami pemimpin Umno yang melahap duit rakyat yang kaya. Contoh mudah YB Ahmad Razif yang baru sepenggal menjadi wakil rakyat sudah memiliki lebih kurang enam buah kereta dan tanah di beberapa tempat. Pemimpin Umno lain pun ada istana masing-masing. Saudara ni rabun agaknya.
6.7. Kami sentiasa mesra rakyat, cakna dan turun padang. Kalau nak tunjuk contoh maka banyaklah. Walaupun dalam keadaan kami tidak menjadi kerajaan yang sepatutnya bukan kerja kami tapi kerja kerajaan yang memerintah. Saudara selalu mendakwa sesuatu yang salah. Menghairankan. Dakwaan saudara bahawa kami berbalah sesama sendiri adalah agak tersasar jauh. Kalau dalam Umno munasabahlah berbalah sebab berebut jawatan. Dalam PAS kalau berebut jawatan bukan boleh apa pun, menghabiskan duit lagi adalah. Kalau Umno lainlah, projek sana sini. Asyik mengeyangkan perut sendiri dan kroni saja. Pemimpin PAS bukannya kaki projek seperti pemimpin Umno. Siapa yang saudara dakwa orang kuat PAS Bukit Tok Beng keluar PAS itu? Boleh tunjukkan kami siapa? Setahu kami belum ada lagi. Tak tahulah kalau ada orang Umno yang masuk Umno seperti isu-isu orang PAS masuk Umno sebelum ini. Isu sewa kanopi ini kes apa pula ya saudara? Boleh nyatakan siapa yang disewa itu agar mudah kami berjumpa dengan beliau.
6.8. Isu Ustaz Roqim ini mungkin saudara tidak tahu kisah sebenar. Jadi tidak perlulah kami ungkitkan di sini. Kamipun tidak pasti sama ada saudara pernah atau tidak hadir ke Masjid Kg Batin, dan mendengar kuliah beliau, jadi tidak perlu saudara bertanya. Biar jemaah masjid saja yang tahu. Bila pula pemimpin PAS mengutuk beliau? Saudara selalu mengambil sikap lepas tangan dengan membuat tuduhan-tuduhan palsu. Kami tidak ada sedikitpun rasa dengki pada beliau. Mungkin untuk jelaskan isu ini di sini tidak berapa sesuai. Maka kita boleh bincangkannya secara peribadi. (Tetapi sayangnya saudara terlalu pengecut untuk mendedahkan identiti saudara).
6.9. Terima kasih kerana masih menyayangi PAS dan dua orang tok guru kami. Benarkah sikap kami di Seberang Takir mengecewakan? Kalau mengecewakan Umno maka sudah tentulah. Saudara bukan ahli PAS, maka tidak berhak mereka kecewa atau gembira. Yang menilai sikap kami adalah ahli, bukan orang luar seperti saudara. Orang Umno memang bencikan PAS, itu tidak dapat kami nafikan. Kalau orang PAS bencikan PAS, maka agak pelik di situ. Adakah orang PAS yang berpura-pura PAS seperti saudara dalam surat layang ini?
6.10. Insya’ Allah, kami akan lakukan strategi yang terbaik bagi menghadapi pilihan raya umum yang ke-13 ini. Dengan izin Allah jua, pasti kami berjaya memenangi dan menawan kembali negeri Terengganu Darul Iman. Kalau orang Umno seperti saudara pun mahu lihat Umno jatuh, maka kami ini lagilah mahu melihatnya. Seperti kata saudara, biar padan muka Umno!
7. Beberapa kali saudara menyebut sayangkan perjuangan PAS, maka kenapa saudara masih lagi bersama Umno? Atau saudara masih sayangkan duit dan harta yang saudara dapat melalui penglibatan saudara dalam Umno? Memang DAP itu kafir, tapi MCA dan MIC itu Islamkah? Kami bersama DAP tidak menggunakan satu bendera seperti Umno dalam BN pun. Kena faham molek tu saudara. Insya’ Allah, luahan saudara yang agak ikhlas itu sentiasa didengari oleh pihak kami sama ada melalui ceramah atau surat layang seperti ini. Harap saudara terus setia mengirimkan kepada kami surat layang seperti ini. Kami akan sentiasa membaiki kelemahan yang ada termasuk kelemahan Umno sendiri kerana itu kami sedia menggantikan Umno. Kami mahu rehatkan Umno dari memerintah negara dan negeri ini. Beri peluang kepada kami memerintah, jika rakyat tidak suka, pilihan raya akan datang boleh tukar dan pilih BN semula. Terima kasih atas muhasabah kita bersama, mudah-mudahan jawapan kami ini juga diterima sebagai muhasabah buat diri saudara.
PAS WAJIB GANTI UMNO
(Tak perlu tandatangan)
MTD PAS DUN Seberang Takir